Pages

Tuesday, May 4, 2010

ISU PENULIS BLOG: NIK AZIZ TERUS BERDIAM...


Kenapa Nik Ajis masih berdiam diri? Adakah benar beberapa pemimpin Pas memberi peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Syed Azidi untuk menjayakan operasi gerak saraf yang bertujuan menjatuhkan pimpinan Kerajaan Pusat? Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz turut mendedahkan nama individu-individu yang memberi peruntukan RM4 juta itu yang turut merangkumi Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

''Jika Nik Abdul Aziz masih berdiam diri bermakna beliau sengaja membiarkan rakyat dalam keadaan tertanya-tanya dan terpaksa membuat andaian sendiri yang tidak pasti kebenarannya,'' jelas Pensyarah Jabatan Undang-Undang Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Salleh Buang.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad berkata, adalah tidak wajar jika Nik Abdul Aziz terus mengambil sikap mendiamkan diri dalam isu yang didakwa oleh Syed Azidi itu.

''Sikap itu menunjukkan beliau seperti ingin lari dari tanggungjawab sedangkan rakyat hendak tahu perkara sebenarnya yang berlaku.

''Ini juga seolah-olah menunjukkan bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh Nik Abdul Aziz,'' ujarnya.

Nampaknya, susah untuk PR menafikan dakwaan Syed Azidi. Pendedahan oleh beliau yang lima pembiaya utama firma Global Media Channel (GMC) yang dikendalinya sebelum ini bagi tujuan operasi gerak saraf melemahkan kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mengukuhkan kedudukan Pas di Kelantan.

Syed Azidi berkata, beliau tampil menyenaraikan nama pembiaya itu sebagai bukti dan sokongan kepada dakwaan yang dibuat menerusi blognya baru-baru ini adalah benar.
Mereka yang disenaraikan sebagai pembiaya GMC itu terdiri daripada pemimpin kanan Pas Kelantan, ahli majlis, pengarang kanan sebuah akhbar pembangkang, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan dan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Kelantan yang membabitkan kos RM4 juta sepanjang tiga tahun.

Berdasarkan senarai itu, ahli majlis terbabit kelihatan menjadi penyumbang terbesar kepada GMC sebanyak RM2.66 juta kerana turut membiayai pembelian bangunan empat tingkat bagi menempatkan operasi GMC di Jalan Kota Darul Naim di sini.

Bangunan terbabit dibeli pada kos RM1.2 juta antara Mei hingga Julai 2007, atas nama sebuah yayasan itu, menempatkan sebuah studio kedap bunyi, pusat operasi media dan teknologi maklumat serta ruang pejabat.
Syed Azidi mendakwa, bangunan berkenaan dibeli menerusi urus niaga terus antara ahli majlis terbabit dengan pemilik asalnya selepas lokasi itu dipilih beliau.

“Beliau juga membayar hutang pilihan raya yang ditanggung GMC kepada pencetak sebuah akhbar berjumlah RM1.2 juta antara Mac hingga Mei 2008, selain menyerahkan tunai RM260,000 pada September dan November 2008 untuk operasi bulanan GMC dan operasi TV parti itu yang diuruskan di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, pengarang kanan sebuah akhbar juga membuatkan pembayaran secara berperingkat dengan tunai dan cek berjumlah RM350,000 bagi membiayai pembelian peralatan penggambaran untuk kegunaan operasi GMC antara Jun hingga Ogos 2007.

Katanya, pemimpin kanan kerajaan negeri juga menyerahkan tunai RM40,000 untuk kegunaan GMC antara Jun hingga Julai 2007 di tempat letak kereta hadapan pintu masuk kenamaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

“Seorang bekas Adun Pas melalui syarikatnya pula menyumbang RM1.28 juta secara tunai secara berperingkat bagi membiayai pengubahsuaian dan belian perabot, peralatan ICT serta biaya operasi untuk GMC antara Mei 2007 hingga Januari 2009,” katanya.

Seorang pemimpin pemuda Pas pula menyerahkan bayaran secara tunai kepadanya di pejabat sebuah akademi pembangunan keluarga di Kota Bharu.

Keadaan menjadi payah untuk PAS menafikan kenyataan ini. Nampaknya segala dakwaan Syed Azidi merupakan benar, tidak ada yang tidak benar melainkan yang benar-benar belaka.