Pages

Sunday, May 30, 2010

Vell Paari mohon maaf

KUALA LUMPUR 28 Mei — Anggota Jawatankuasa Pusat MIC (CWC), S. Vell Paari hari ini memohon maaf atas dakwaan beliau bahawa UMNO mengupah 'pembunuhan politik' dan di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.

Vell Paari berkata, adalah jelas bahawa UMNO tidak terbabit dalam mana-mana cara dengan pergerakan GAS memandangkan perkembangan yang berlaku, baru-baru ini.

"Dan ramai pemimpin UMNO telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak menggalakkan atau bekerja dengan V. Mugilan (bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC) dalam sebarang cara pun.

"Dengan itu, saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan UMNO mengenai kenyataan awal saya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan ringkas itu, Vell Paari menyifatkan kenyataan kontroversinya yang diutarakan kerana beliau merasakan adalah tugas beliau untuk membela ayahnya, Samy Vellu.

"Malahan, saya juga bertindak kerana Mugilan dan bekas anggota CWC, G. Kumar Aamaan telah mengulangi secara terbuka mengaitkan nama UMNO ke dalam kenyataan dan tindakan mereka baru-baru ini," kata beliau.

Vell Paari telah mendakwa bahawa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' untuk mengasingkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam temu bual dengan laman web Free Malaysia Today pada Isnin lepas.

"Saya juga telah menjelaskan kedudukan saya kepada Perdana Menteri awal hari ini.

"Maju ke hadapan, saya harap kita boleh melupakan ini semua dan bekerjasama seperti yang kita sering ada dalam keluarga Barisan Nasional," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment